Seorang lagi meninggal dunia
SEORANG lagi mangsa kemalangan membabitkan dua kereta dengan sebuah motosikal di Jalan Saujana Impian arah Semenyih, Kajang hari ini, meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa yang meninggal dunia adalah lelaki berusia 28 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dalam kejadian itu.
"Penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kajang pada 6 petang tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan itu.
Dalam kejadian itu, pemandu kereta Perodua Kancil, Yap Khiam Heung, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala tiga lagi mangsa iaitu pemandu kereta Proton Persona, Liew Yeou Haur, 18; penunggang motosikal, Urul Afendy Hasim, 28, serta pembonceng motosikal iaitu Norini Yusof, 30, dilaporkan cedera.
Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas kereta Proton Persona itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Kancil serta sebuah motosikal Yamaha Y15.
